
Menteri Mohamad Sabu berkata penetapan itu untuk meningkatkan pengeluaran beras negara dan menyeragamkan harga lantai belian padi di kedua negeri dengan Semenanjung.
“Pada masa ini, harga belian padi di Sabah dan Sarawak agak rendah, iaitu sekitar RM900 hingga RM1,100. Penetapan ini mampu membantu menambah pendapatan pesawah sekali gus menggalakkan pesawah untuk meningkatkan pengeluaran padi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sempena lawatan ke Jelapang Padi Batang Lupar di Dewan Nangkai Stumbin.
Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dr Abdul Rahman Ismail dan Pengerusi Sri Aman Development Agency (Sada) Rohani Abdul Karim.
Mohamad berkata, untuk jangka panjang, kerajaan perlu memperkukuhkan sekuriti makanan negara, iaitu memberi tumpuan kepada perluasan kawasan tanaman padi di Sabah dan Sarawak dengan memperluaskan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan ke seluruh negara dan perluasan lagi kawasan jelapang padi baharu.
“Program Smart SBB di Sarawak telah dilaksanakan secara rintis bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar, dengan usahasama strategik Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan Syarikat Advansia (Sarawak) Sdn Bhd, membabitkan kawasan seluas 72 hektar di Tanjung Bijat, Sri Aman bermula luar musim tahun 2021.
“Seramai 202 orang pesawah telah memberanikan diri untuk menggalas perubahan dan inovasi ini. Jenis varieti padi yang digunakan di bawah program Smart SBB di Batang Lupar ini ialah MR269, keluaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), yang dibawa masuk khas dari Semenanjung.
“Projek ini telah merekodkan prestasi purata bersih tuaian yang sangat memberangsangkan pada musim dua tahun 2023, iaitu 5.5 tan per hektar berbanding 2.8 tan per hektar sebelum ini,” katanya.
Beliau menambah sasaran kerajaan untuk meningkatkan Tahap Sara Diri Beras Negara, akan mampu mencapai 80% menjelang 2030 berbanding pencapaian semasa sebanyak 62.6%.