‘Diam’ pilihan lebih baik DAP, kata penganalisis

‘Diam’ pilihan lebih baik DAP, kata penganalisis

Azmi Hassan dan James Chin berkata DAP mesti waspada dan berhikmah ulas pengurangan hukuman bekas perdana menteri, Najib Razak.

Penganalisis Azmi Hassan berkata, tiada sebab DAP perlu lantang mengulas pengurangan hukuman Najib Razak hanya kerana mahu ‘memuaskan hari pengundi mereka’.
PETALING JAYA:
DAP tidak perlu terlalu terbuka mengkritik pengurangan hukuman bekas perdana menteri, Najib Razak dalam kes SRC International, sebaliknya berwaspada ketika mengeluarkan kenyataan, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata kegagalan menguruskan isu tersebut secara berhati-hati dibimbangi mengundang persepsi meletakkan kesalahan kepada bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, terhadap budi bicaranya dalam memberi pengurangan hukuman.

Katanya, pengundi Melayu “sangat waspada” dengan sikap terlalu terbuka DAP, memandangkan mereka tidak meyakini Umno menjaga kepentingan golongan itu termasuk agama.

Beliau berkata, DAP berisiko “membakar” 20% hingga 30% pengundi Melayu yang masih menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Umno.

Azmi berkata, Najib tidak layak bertanding pada PRU16, manakala PRU selepas itu masih jauh daripada jangkauan.

“Jadi, tiada sebab bagi mereka (DAP) lantang bersuara hanya kerana mahu memuaskan hati pengundi mereka, tidak…saya rasa tidak perlu. Mereka (sebaliknya) bermain permainan bahaya,” katanya.

Pada 2 Feb, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan pengurangan hukuman penjara Najib kepada enam tahun berbanding 12 tahun, dan denda dikurangkan kepada RM50 juta berbanding RM210 juta.

James Chin daripada University of Tasmania, berpandangan pimpinan DAP “tidak mempunyai pilihan” selain menerima keputusan Lembaga Pengampunan, sambil menyatakan parti mesti berhikmah.

“Ini bermakna mereka seperti (Setiausaha Agung DAP) Loke Siew Fook, yang mewakili DAP dalam kerajaan, macam mana pun tidak ada pilihan. Namun, sudah tentu tidak bermakna ahli DAP lain tidak boleh bercakap langsung,” katanya.

Chin berkata, kebanyakan rakyat memahami komponen parti dalam kerajaan perpaduan “terikat tangan” dalam perkara berkenaan.

Katanya, walaupun ramai tidak berpuas hati, namun ia tidak akan berlarutan.

“…selepas beberapa tempoh, rakyat akan sedar lebih baik menyokong kerajaan perpaduan daripada (menukar sokongan) kepada Perikatan Nasional,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.