‘Buah tuah’ tak laku meski harga murah, keluh peniaga

‘Buah tuah’ tak laku meski harga murah, keluh peniaga

Peniaga sekitar Lembah Klang mendakwa perniagaan limau mandarin merosot, tidak dapat tempahan seperti sambutan Tahun Baharu Cina sebelum ini.

Lau Ming Hui berkata perniagaannya merosot hampir 40% walaupun harga limau mandarin lebih murah tahun ini.
PETALING JAYA:
Berbaki dua hari menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, namun penjualan “buah bertuah”- limau mandarin didakwa ‘tidak sekencang’ dahulu meskipun harganya kini lebih murah berbanding tahun lalu, menurut peniaga.

Seorang peniaga Bukit Jalil, Lau Ming Hui, 58, berkata harga buah yang mengikut kepercayaan orang Cina itu boleh membawa nasib baik menurun di antara 10 hingga 20% susulan peningkatan bekalan dari negara sumber, China.

Cuaca baik di republik itu meningkatkan tuaian limau mandarin yang sinonim dengan Tahun Baharu Cina.

Bercakap kepada FMT, Lau memberikan contoh untuk limau bersaiz XL, harganya turun kepada RM30 sekotak yang mengandungi 20 biji berbanding RM40 sebelum ini.

“Walaupun harga menurun dan kualiti lebih baik berbanding tahun lalu, permintaan kali ini berkurangan sehingga hampir 40%.

“Tempahan daripada syarikat atau kilang pun berkurang. Kalau masih sunyi, terpaksa turun lagi harga untuk pastikan dapat jual habis,” katanya yang memulakan jualan pada 20 Jan lalu.

Seorang lagi peniaga di Kota Damansara dikenali sebagai Tan, 46, turut mengakui perniagaan limau mandarin pada tahun ini sedikit terjejas yang mungkin disebabkan ramai orang atau syarikat berjimat cermat.

“Jumaat (esok) ini tutup gerai, saya akan jual stok yang ada…tidak tambah bekalan. Banyak peniaga lain mengadu hal sama.

“(Mungkin) Ekonomi tak baik. Perniagaan sebelum ini lagi ‘ok’ berbanding sekarang,” katanya.

Bagi seorang suri rumah, Cheng Boon Teng, 44, berkata dia hanya membeli sekotak limau mandarin tahun ini untuk upacara sembahyang sahaja.

“Tak beli banyak, lebih baik jimatkan wang untuk hidangan ‘makan besar’ sambutan nanti.

“Harga barang makanan naik sekarang,” katanya.

Pemilik kedai perkakasan di Puchong dikenali Lim berkata tahun ini dia mengurangkan pembelian kepada 25 kotak limau mandarin tahun ini berbanding 40 kotak tahun sebelumnya untuk diagihkan kepada pekerja dan pelanggan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.