
Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri memutuskan Clare Rewcastle-Brown, 65, memfitnah Sultanah Nur Zahirah menerusi buku “The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose”.
Warga United Kingdom itu dituduh mengikut Seksyen 500 KK kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bagaimanapun dijalankan tanpa kehadiran Rewcastle-Brown. Sebelum ini, mahkamah sama mengeluarkan waran tangkap kerana warga UK itu gagal menghadirkan diri untuk dituduh.
Menurut laporan Berita Harian, mahkamah memerintahkan pemenjaraan bermula dari tarikh sabitan, iaitu hari ini.
Mahkamah Rayuan pada 12 Disember tahun lepas memutuskan Rewcastle-Brown memfitnah Sultanah Nur Zahirah menerusi buku sama, dalam kes saman baginda terhadapnya.
Mahkamah memerintahkan Rewcastle-Brown membayar ganti rugi RM300,000 kepada baginda.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan dalam buku itu antara lain bermaksud baginda terbabit rasuah dan campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Terengganu.