
Salim Bashir berkata, bekas perdana menteri itu disabitkan bersalah dan dihukum selepas perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi, manakala dua rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pula mengesahkan keputusan berkenaan.
“Tambahan, permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan akhir (menerusi) panel Mahkamah Persekutuan berbeza ditolak tahun lepas dengan penghakiman majoriti 4-1,” katanya.
Salim berkata, Najib yang juga bekas presiden Umno turut memfailkan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong sejurus keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022.

Minggu lepas, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan keputusan memendekkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda RM210 dikurangkan kepada RM50 juta.
“Sebarang usaha untuk memohon perbicaraan semula tidak mungkin berlaku kerana dia telah habis (menggunakan) keseluruhan proses kehakiman. Perbicaraan semula lazimnya diarahkan sekiranya berlaku kekhilafan teruk, tetapi mahkamah tertinggi tidak mendapati perkara ini berlaku dalam kes SRC (International),” katanya.
Salim yang juga bekas presiden Badan Peguam mengulas kenyataan bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim pada Isnin yang menggesa supaya Umno terus mendesak kes Najib dibicarakan semula atas alasan dia dinafikan perbicaraan adil.
Sebelum itu, Naib Presiden Umno Johari Ghani menggesa parti itu “move on” daripada keputusan diumumkan lembaga berkenaan.

Sementara itu, peguam Bastian Pius Vendargon berkata, Najib memohon kepada Lembaga Pengampunan selepas habis semua remedi undang-undang bawah sistem kehakiman.
“Dia memohon belas kasihan dan mendapat hukuman lebih ringan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, Najib boleh memohon perbicaraan semula sekiranya muncul keterangan baharu dan penting yang tidak dikemukakan ketika perbicaraan serta rayuannya.
“Dia perlu memfailkan semakan untuk menyatakan bahawa sabitannya tidak kukuh. Permohonan seperti itu juga mesti termasuk bawah bidang kuasa semakan yang jelas,” katanya.
Vendargon bagaimanapun berkata, Najib boleh membuat satu lagi permohonan untuk pengampunan penuh seperti diperoleh presiden de facto PKR ketika itu, Anwar Ibrahim, pada 2018.