
Pengarah JAS Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, sebaik menerima maklumat mengenai kewujudan longgokan itu, beliau mengarahkan siasatan dijalankan dan didapati kawasan bangunan yang menempatkan sisa tersebut telah ditinggalkan serta tidak lagi beroperasi.
“Longgokan tersebut ialah penebat yang telah dipisahkan daripada wayar. Bahan yang tertinggal ini ialah buangan sisa pepejal dan JAS akan maklumkan kepada pihak berkuasa tempatan serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk tindakan selanjutnya.
“Kilang disyaki kilang haram dan tiada sebarang tanda nama kilang dijumpai,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, wayar sekerap yang masih belum diproses dikategori sebagai buangan terjadual namun jika telah dipisahkan lapisan luar wayar, ia dikategorikan sebagai sisa pepejal.
Terdahulu, Adun Bakar Arang Adam Loh berkongsi mengenai longgokan sisa itu di laman Facebook pada 2 Feb lepas.
“Terjumpa sisa yang dipercayai adalah sisa kitar semula di sebuah kilang yang tidak disewa di kawasan perindustrian Bakar Arang. Kami telah melakukan tinjauan menggunakan dron menunjukkan bahawa sisa tersebut meliputi kawasan yang luas dan ketinggiannya mungkin mencapai sehingga tiga tingkat.
“Dalam musim kemarau ini, keadaan tersebut boleh membawa risiko kebakaran yang serius. Aduan mengenai hal ini telah disalurkan kepada pihak agensi kerajaan untuk tindakan lanjut,” tulisnya dalam hantaran itu yang turut disertakan video menunjukkan longgokan sisa tersebut.