Gandingan Pandelela-Dhabitah gagal tempah tiket Paris 2024

Gandingan Pandelela-Dhabitah gagal tempah tiket Paris 2024

Mereka hanya menduduki tempat ke-12 daripada 16 gandingan dalam acara 10m platform seirama di Kejohanan Akuatik Dunia, Doha.

Gandingan Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri mengutip 240.06 mata keseluruhan dalam final acara 10m platform seirama di Kejohanan Akuatik Dunia, Doha, Qatar. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ratu terjun negara Pandelela Rinong dan gandingannya Nur Dhabitah Sabri terlepas tiket untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas hanya menamatkan saingan acara 10m platform seirama pada kedudukan ke-12 di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, malam tadi.

Gagal menampilkan prestasi terbaik, mereka menduduki kedudukan tersebut daripada 16 gandingan dengan mengutip 240.06 mata keseluruhan di acara final yang berlangsung di Pusat Akuatik Hamad.

Tempat pertama milik pasangan China, Chen Yuxi-Quan Hingchan yang mengumpul 362.22 mata keseluruhan, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing disambar pasangan Korea Utara, Kim Mi Rae-Jo Jin Min (320.70 mata) dan gandingan Great Britain, Toulson Lois-Spendolini Sirieix (299.34 mata).

Pandelela-Dhabitah perlu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik bagi mengesahkan tiket ke Paris.

Kelmarin, Pandalela yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 terlepas tiket ke Paris dalam acara kegemarannya 10m platform individu.

Beliau menamatkan saingan di tempat ke-29 dengan mengumpul 231.15 mata, sekali gus gagal ke separuh akhir.

Terdahulu, dua penerjun lelaki negara, Ooi Tza Lian dan Muhammad Syafiq Puteh tersingkir di pusingan kelayakan 3m papan anjal individu lelaki selepas masing-masing hanya menduduki tempat ke-23 (352.10 mata) dan 45 (296.35 mata).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.