
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata sedikit penyelarasan dibuat selepas pihaknya menemui wakil Jabatan Penerangan semalam.
“Kita jangkakan selepas Tahun Baharu Cina, kita akan mencari tarikh sesuai untuk melancarkan manual tersebut,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
“Insya Allah, dekat dengan tarikh itu dan setelah selesai sedikit lagi penelitian, kita boleh kongsi lebih banyak isi kandungannya.
Mengenai perkembangan pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) dalam kalangan warga Kementerian Komunikasi, beliau berkata, penglibatan yang ditunjukkan amat menggalakkan dan semakin positif berbanding sebelum ini.
“Bagi sesetengah penjawat awam, mungkin mereka merupakan ketua isi rumah dan proses mendaftar ahli keluarga juga sebahagian daripada proses itu (yang akan mengambil masa), tetapi langkah pertama ialah pendaftaran.”
Pada 2 Jan lalu, kerajaan melancarkan Padu, iaitu pangkalan data utama negara yang selamat dan komprehensif ke arah digitalisasi serta penghasilan analitik tepat.
Semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas digalakkan mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam sistem itu bagi memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial melalui sistem Padu.
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.padu.gov.my.