
M Kesigan, 28, didakwa membunuh T Hudesh di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai Lembah Subang, pada kira-kira 11.15 malam 24 Jan lepas.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hanya mengangguk faham sebaik tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 3 April untuk sebutan semula kes.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Khairun Nisa Noor Harun tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes bunuh termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dilaporkan sebelum ini bahawa sepasang suami isteri telah ditahan kerana disyaki terbabit dengan kematian seorang bayi lelaki bulan lepas.
Suspek-suspek yang juga ibu bapa saudara mangsa difahamkan menjaga kanak-kanak itu setiap kali ibu bapanya ke tempat kerja.
Hasil pemeriksaan serta bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada badan mangsa, dipercayai akibat didera.