Wajar hapus kuota 30% wanita pembuat dasar, kata Nancy

Wajar hapus kuota 30% wanita pembuat dasar, kata Nancy

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata tidak patut ada had untuk menyekat wanita bersama dalam kelompok penggubal dasar negara.

Nancy Shukri berkata kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh meningkat kepada 55.9% tahun lalu berbanding 55.3% pada 2020. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Dasar 30% kuota wanita pembuat keputusan perlu dihapuskan kerana tidak patut ada had untuk menyekat golongan itu bersama dalam kelompok penggubal dasar negara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri.

“Tak sepatutnya ada apa-apa (had) siling (seperti) dari segi 30%. Kalau dalam sektor awam kita dah sampai 42%, jadi tak patut kalau nak letak 50% atau apa-apa.

“Tak sepatutnya ditetapkan siling lagi, kita (wanita) sepatutnya boleh bergerak secara bebas, tidak perlu disekat,” katanya menurut Sinar Harian selepas Program Pembangunan Wanita Tun Fatimah Sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Laman Wanita, Jasin, Melaka.

Sebelum ini, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz dilaporkan berkata ramai wanita layak mengisi jawatan penting, tetapi dasar 30% kuota kerajaan menghalang potensi golongan itu.

Nancy yang bersetuju dengan pandangan bekas ketua Wanita Umno itu berkata, wanita tidak sepatutnya diibaratkan “kekabu untuk memenuhkan ruang dijadikan bantal”.

“Maksud beliau (Rafidah) jangan kita berhenti pada 30% sahaja, kita mempunyai ramai wanita yang layak naik ke atas sana untuk jadi pembuat keputusan.

“Kalau zaman ini saya bersama Tan Sri Rafidah, saya bersetuju, beliau telah melatih ramai wanita dan ramai lagi boleh dibawa untuk membantu.”

Sementara itu, Nancy berkata kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh meningkat kepada 55.9% tahun lalu berbanding 55.3% pada 2020.

“Peningkatan ini dijangka dapat diteruskan menerusi penyediaan persekitaran ekonomi kondusif dan mesra wanita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.