
Chow yang menggantikan Lim pada 2018 turut menjelaskan bahawa kos RM247 juta diperuntukkan untuk keseluruhan projek termasuk fasa dua.
Menurutnya, setakat 31 Dis lalu kerajaan negeri hanya membayar RM58 juta dan segala kerosakan adalah di bawah tanggungan kontraktor selama dua tahun atas syarat tempoh liabiliti kecacatan.
“RM247 juta hanya akan dibelanjakan apabila kesemua komponen projek siap menjelang 2026,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas dakwaan Lim yang mempersoalkan kualiti kerja fasa pertama Taman Gurney Bay di sini yang dilaporkan mengalami keretakan struktur konkrit, meskipun projek bernilai RM247 juta itu baharu dibuka kepada orang awam semalam.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, pengerusi DAP itu berkata nilai yang dibelanjakan sepatutnya membolehkan sebuah taman rekreasi bertaraf antarabangsa dibina dan kerosakan itu menimbulkan keraguan berhubung perancangan asal, reka bentuk dan pemantauan projek.
Beliau turut berkongsi dua keping gambar menunjukkan tali pada alat permainan kanak-kanak di taman berkenaan telah rosak.
Fasa pertama Taman Gurney Bay yang berluasan 11.2 hektar dilengkapi pelbagai kemudahan seperti taman permainan, kios penjaja, dek melihat sudut pandang selatan, tandas awam dan parkir kereta terbuka.