Polis siasat kes Taib Mahmud dibawa keluar hospital

Polis siasat kes Taib Mahmud dibawa keluar hospital

Kes disiasat bawah Seksyen 336 kanun Keseksaan.

Tular di media sosial mendakwa bekas Yang di-Pertua Sarawak Abdul Taib Mahmud dibawa keluar dari hospital tanpa persetujuan doktor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan bekas Yang di-Pertua Sarawak Abdul Taib Mahmud dibawa keluar dari sebuah hospital.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata, berkata kes disiasat bawah Seksyen 336 kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan dan membuat spekulasi berhubung laporan polis yang tular itu.

“Tindakan menyebarkan maklumat palsu boleh diambil tindakan bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan.

Menurut laporan polis yang tular, Taib dilaporkan ketika itu dirawat di unit rawatan rapi Pusat Pakar Perubatan Normah di Kuching.

Laporan itu mendakwa pada lewat malam Sabtu, seorang ahli keluarga terdekat mengeluarkan semua peralatan perubatan yang melekat pada tubuh Taib tanpa memaklumkan kakitangan hospital.

Taib kemudian diletakkan di atas kerusi roda dan diusung keluar dari hospital dan dibawa menaiki sebuah kenderaan.

Taib, 87, berkhidmat selama tiga penggal sebagai Yang di-Pertua Sarawak dari 1 Mac 2014 hingga 26 Jan lalu, apabila Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggantikannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.