Menteri cadang 30,000 pekerja seni, ‘stringer’ dilindungi Perkeso

Menteri cadang 30,000 pekerja seni, ‘stringer’ dilindungi Perkeso

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata waktu kerja tidak menentu mengundang insiden bahaya di tempat kerja.

Steven Sim berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Komunikasi melaksanakan kaedah perlindungan kepada pekerja seni dan wartawan sambilan.
SHAH ALAM:
Menteri Sumber Manusia Steven Sim akan bertemu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam waktu terdekat bagi membincangkan kaedah perlindungan kepada pekerja dan wartawan sambilan atau ‘stringer’ melibatkan pengamal media serta penggiat industri seni.

Katanya, ketika ini terdapat kira-kira 30,000 petugas berkenaan dalam negara, dan beliau berhasrat meluaskan liputan perlindungan bawah Perkeso kepada mereka, antaranya menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang memberikan perlindungan kepada individu yang bekerja sendiri.

“Sebab kita tahu terutamanya untuk pekerja industri media dan kreatif ini, waktu kerja mereka tidak tentu…dan mungkin ada insiden yang mendedahkan pekerja ini kepada bahaya di tempat kerja. Jadi, kita faham ada keperluan mendesak untuk memberikan perlindungan kepada kumpulan ini.

“Saya telah menghubungi saudara Fahmi Fadzil selaku menteri komunikasi dan beliau juga mempunyai pendirian sama. Kita akan bertemu dalam waktu terdekat untuk membincangkan kaedah-kaedah untuk memperluaskan liputan perlindungan Perkeso terutamanya kepada pekerja dalam sektor media dan industri kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat dan menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kementeriannya bersama Perkeso kepada petugas bilik berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Marlia Mohamed, 43.

Sementara itu, Marlia menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan kementerian menyampaikan sumbangan CSR kepadanya, yang sedikit sebanyak meringankan beban beliau, susulan hilang upaya kekal berikutan penyakit diabetis yang dihadapinya, sejak 2009.

Katanya, beliau mula menghidap penyakit itu selepas melahirkan anak tunggal lelakinya dengan kaki kiri terpaksa dipotong sehingga ke bahagian peha berikutan jangkitan kuman pada November lalu.

“Saya berterima kasih sangat kepada kementerian serta Perkeso atas sumbangan peralatan seperti ‘katil elektrik’ serta kerusi roda. Sudah tentu saya berasa lega apabila dapat bantuan ini, sekali gus dapat meringankan beban yang dihadapi kini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.