Melayu bahasa kedua Asean tak perlu jadi polemik, tegas Ismail

Melayu bahasa kedua Asean tak perlu jadi polemik, tegas Ismail

Perdana menteri kesembilan menyentuh penolakan Indonesia terhadap cadangan menjadikan bahasa Melayu bahasa kedua Asean.

Ismail Sabri Yaakob pada perasmian Kursi Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di Kolej Teknologi Pentadbiran Perniagaan Global Thai.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean tidak perlu jadi polemik kerana ia asal-usul kepada beberapa bahasa kebangsaan di rantau ini.

Ismail menyentuh penolakan Indonesia terhadap cadangan Malaysia yang diusulkan beliau dua tahun lalu, atas alasan bahasa Indonesia lebih layak ditonjolkan sebagai bahasa utama.

“Bagi saya tidak timbul sebarang isu di sebalik cadangan ini kerana akar bahasa di Nusantara adalah bahasa Melayu biar apa pun namanya,” katanya dalam suatu ucapan.

“Saya berharap cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean dapatlah diteruskan kerana terasnya adalah sama dan bilangan penuturnya hampir separuh daripada penduduk rantau ini.”

Ismail menyentuh isu itu dalam ucapan di Kolej Teknologi Pentadbiran Perniagaan Global Thai, hari ini, sempena perasmian Kursi Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, yang ditubuh untuk memperkenal serta promosi pengajian bahasa dan ketamadunan Melayu di Thailand.

Cadangan bahasa kedua Asean itu dikemukakan Ismail dalam pertemuan dengan Presiden Joko Widodo pada April 2022, bagi memartabatkan bahasa itu di peringkat antarabangsa.

Menteri pendidikan, kebudayaan, penyelidikan, dan teknologi Indonesia ketika itu, Nadiem Makarim, dilapor berkata beliau sebagai menteri menolak usul itu dan berkata bahasa Indonesia lebih layak daripada aspek sejarah, hukum, dan linguistik.

Katanya lagi, bahasa Indonesia menjadi bahasa terbesar di Asia Tenggara, tersebar ke 47 negara, dan diajar sebagai mata pelajaran di beberapa pusat pengajian terkemuka di Asia, Eropah, dan Amerika Syarikat.

Ismail bagaimanapun berkata Indonesia sendiri menjadikan bahasa Melayu sebagai “tonggak” dalam agenda pembinaan negara bangsa, seperti mana Malaysia dan Singapura.

Katanya, bahasa Melayu satu-satunya bahasa pengantar yang dapat menyatukan hampir semua populasi di Nusantara.

“Majoriti penduduk di Nusantara bertutur dengan asas bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu walaupun ia dikenali dengan nama lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.