KPN ‘hukum’ Pua sebelum siasatan, bidas Ramkarpal

KPN ‘hukum’ Pua sebelum siasatan, bidas Ramkarpal

Ahli Parlimen Bukit Gelugor mempersoal kenyataan Razarudin Husain semalam seperti menggambarkan Tony Pua didapati menghasut sebelum selesai siasatan.

Ramkarpal Singh gesa Ketua Polis Negara Razarudin Husain kekal tahap profesionalisme dan elak mempengaruhi proses siasatan.
PETALING JAYA:
Ramkarpal Singh mengkritik Ketua Polis Negara (KPN) Razarudin Husain mengeluarkan kenyataan seolah-olah menggambarkan Tony Pua bersalah kerana menghasut dalam catatan di Facebook berkait pengampunan Najib Razak.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mempersoal kenyataan mengkategorikan apa diperkata Pua sebagai hasutan walaupun siasatan masih berjalan.

“Jika KPN semalam telah menyimpulkan kenyataan Pua bersifat hasutan, mengapa perlu memanggilnya ke Bukit Aman hari ini bagi tujuan membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

“Ia seperti KPN telah mendapati Pua bersalah tanpa memberinya hak untuk mendapatkan siasatan wajar dan adil.”

Ramkarpal, yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi), berkata tindakan sedemikian merendahkan keadilan dan tidak berpihak dalam proses penyiasatan.

“KPN sepatutnya melaksanakan tugasnya secara profesional dan tidak boleh dilihat mempengaruhi proses siasatan,” katanya.

Bukit Aman melakukan siasatan terhadap kenyataan Pua merujuk kepada keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman kepada Najib Razak, dalam kes sabitan SRC International.

Pua dipanggil ke Bukit Aman hari ini bagi membantu siasatan selepas Razarudin mengesahkan menerima laporan berhubung catatannya di Facebook, yang didakwa menghina institusi diraja.

Semalam, KPN dalam kenyataan berkata apa diperkatakan Pua “bersifat menghasut orang ramai agar membenci dan menghina institusi diraja berkenaan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasanya bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan”.

Pada Sabtu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, berkata sayap parti itu akan membuat laporan polis di seluruh negara kerana mendakwa Pua mempersoal keputusan Agong.

Pada Jumaat, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan hukuman Najib dikurangkan kepada enam tahun berbanding hukuman asal 12 tahun, dan denda dikurangkan kepada RM50 juta berbanding RM210 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.