Jabatan Imigresen kutip RM5.5 bilion pada 2023

Jabatan Imigresen kutip RM5.5 bilion pada 2023

Caj levi menjadi sumbangan terbesar susulan kemasukan lebih dua juta pekerja asing pada tahun lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh berkata hasil yang dikutip jabatan itu pada 2023 lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu RM5.13 bilion.
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen berjaya mengutip RM5.56 bilion tahun lalu mengatasi sasaran kutipan yang ditetapkan iaitu RM4.5 bilion.

Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh berkata kutipan tersebut lebih tinggi berbanding 2022 iaitu RM5.13 bilion dan caj levi pekerja asing menjadi penyumbang terbesar iaitu RM3.31 bilion, lapor Utusan Malaysia.

Katanya, kemasukan lebih dua juta pekerja asing pada tahun lalu menjadikan urusan levi penyumbang terbesar hasil Jabatan Imigresen.

“Selain itu, kutipan fi proses perkhidmatan imigresen adalah sebanyak RM654.6 juta menjadikannya sebagai penyumbang kedua tertinggi untuk hasil negara.

“Urusan pembaharuan pasport pula merekodkan kutipan sebanyak RM522.1 juta, permit kerja untuk pekerja asing sebanyak RM379.9 juta dan visa pula sebanyak RM228.5 juta,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Ruslin berkata seramai 2.38 juta pekerja asing berdaftar di pelbagai sektor direkodkan pada 2023, yang merangkumi warga Bangladesh 36.28%, diikuti Indonesia (23.55%), Nepal (17.61%), Myanmar (7.7%), dan India (5.7%).

Dengan anggaran seramai 2.4 juta pekerja asing diperlukan menjelang 2025, Ruslin berkata kerajaan merangka langkah tertentu menerusi perbincangan antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.

Menurutnya, antara perkara utama dibincangkan adalah mengurangkan tempoh proses dokumentasi yang terlalu lama.

“Kalau dulu proses dari awal (sebaik sahaja diberi kuota) sehingga diberi Pas Lawatan Kerja Sementara, ia mengambil masa 29 bulan 13 hari. Memang lama.

“Justeru kerajaan bersetuju mengurangkan kepada 15 bulan dan tujuh hari iaitu pengurangan sebanyak 46% daripada tempoh asal,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.