Bawang cukup, kata Mat Sabu

Bawang cukup, kata Mat Sabu

Ini kerana kerajaan mengimport bawang dari negara seperti China, Thailand dan Pakistan untuk memastikan bekalan dalam negara sentiasa mencukupi.

Mohamad Sabu cuba menerbangkan dron untuk menyembur racun di sawah semasa Lawatan ke Projek Penanaman Padi di Kampung Sawah Ring, Tangkak, hari ini. (Gambar Bernama)
TANGKAK:
Bekalan bawang di negara ini masih mencukupi meskipun India menyekat eksport bawangnya, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Beliau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata sekatan eksport bawang itu bersifat sementara dan kerajaan mengambil langkah mengimport bawang dari negara seperti China, Thailand dan Pakistan untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi di negara ini.

“Kita tidak mengalami masalah kekurangan bekalan bawang, cuma harganya turun naik. Sekatan bawang ini bersifat sementara, macam beras juga hari itu, bila kita runding semula, mereka sanggup menjual 170,000 tan metrik kepada Malaysia.

“Saya ingat berhenti eksport bawang ini disebabkan keadaan politik dalam negara mereka yang akan berlaku pilihan raya, selepas itu mungkin mereka akan eksport semula,” katanya selepas melawat Projek Penanaman Padi Johor di Kampung Sawah Ring, di sini.

Beliau ditanya status terkini bekalan bawang di Malaysia susulan sekatan eksport bawang dari India.

Akhir tahun lepas, Direktorat Perdagangan Luar Negeri India mengumumkan negara itu melarang eksport bawang sehingga 31 Mac ini bagi meningkatkan bekalan domestik, selain membendung inflasi pengguna.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bersama Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan diperluaskan ke Johor secara berperingkat.

Katanya program di negeri itu melibatkan 10 sawah padi berkeluasan 2,254 hektar untuk menambah rizab kawasan penanaman padi, sekali gus meningkatkan produktiviti pengeluaran padi negara.

“Ala Sekinchan ini mestilah tanaman mengikuti masa betul, baja dan pengairan sesuai. Kalau tidak ada pengairan cukup, maka dia tidak boleh untuk kita buat ala Sekinchan dengan sempurna dan dari segi penjagaan mestilah pesawah padi ini tidak boleh kerja sambilan. Dia kena jadi pesawah sepenuh masa macam profesional.”

Beliau juga yakin program SMART SBB dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi daripada tujuh tan metrik per hektar kepada 10 tan metrik per hektar.

Di Johor, terdapat 859 pesawah mengusahakan 10 sawah padi di Muar, Tangkak, Batu Pahat, Kluang dan Mersing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.