
Azalina berkata, inisiatif cadangan penggubalan undang-undang baharu itu bagi menangani isu berkaitan jenayah siber, selain mencerminkan keprihatinan kerajaan Madani dalam memastikan keselamatan rakyat di alam siber tidak terus terancam.
“Perkhidmatan dalam talian pada masa ini merupakan satu keperluan dan antara elemen terpenting dalam kehidupan seharian. Perkembangan ini membuka banyak peluang baharu, terutama dalam bidang perniagaan, sekali gus menjadikan kehidupan rakyat semakin mudah dan selesa.
“Namun, dalam kita menikmati manfaatnya, alam siber kini dieksploitasi sehingga menjadi lubuk jenayah siber yang semakin berleluasa dan pada tahap membimbangkan,” katanya dalam catatan X.
Beliau berkata, mesyuarat itu turut dihadiri pegawai pelbagai kementerian, agensi dan badan berkaitan.