
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network, R Jeyenderan, berkata sejak surat pertama dihantar pihaknya ke Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) berkait masalah membelenggu syarikat perkapalan di pelabuhan itu, tiada maklum balas mahupun kenyataan daripada Loke Siew Fook sehingga kini walaupun surat terbaharu dihantar kepadanya pada 12 Jan lalu.
“Atas faktor itu, saya membuat keputusan menyerahkan memorandum hari ini agar semua masalah berkait sektor perkapalan tempatan di Pelabuhan Selatan diberi perhatian segera,” katanya dalam kenyataan selepas menyerahkan memorandum itu di Kementerian Pengangkutan.
Sebelum ini, Jeyenderan dilaporkan menggesa Loke mengadakan sesi libat urus dengan semua pemain industri untuk menyelesaikan masalah kemudahan di Pelabuhan Selatan.
Mereka mendakwa banyak isu berbangkit gagal diselesaikan LPK antaranya SOP saiz kapal dan had kebenaran berlabuh antara 8 pagi hingga 5 petang akibat masalah pencahayaan.
Turut dibangkitkan masalah kedalaman Labuhan Kurap di pelabuhan terbabit yang hanya 6.5m sejak setahun lalu susulan tiada kerja pendalaman dan pembersihan terusan.
Jelasnya, sebuah kapal boleh membawa muatan sehingga 5,000 tan bagi setiap 1m namun dalam situasi dihadapi mereka jumlah itu terpaksa dikurangkan tetapi kos pengangkutan kekal.
FMT sebelum ini mendapatkan Pengerusi LPK Ean Yong Hian Wah untuk maklum balas namun bekas Adun Seri Kembangan itu enggan mengulas lanjut.
Susulan itu, Jeyenderan berkata sekiranya tiada tindakan daripada pihak MoT dalam masa terdekat, beliau terpaksa membawa isu itu ke pengetahuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Kami harap selepas cuti Tahun Baharu Cina, menteri ada penjelasan dan penyelesaian untuk masalah yang kami hadapi, jika tidak kita terpaksa panjangkan isu ni kepada PM untuk penyelesaian terbaik.
Menurutnya, ketika ini kira-kira 350 syarikat perkapalan beroperasi di pelabuhan itu.