Taktik jadikan dadah serupa serbuk koko gagal, 5 ditahan dalam serbuan

Taktik jadikan dadah serupa serbuk koko gagal, 5 ditahan dalam serbuan

Sindiket didapati sudah aktif beroperasi sejak Julai tahun lepas, kata Ketua Polis Johor M Kumar.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata, pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1.81 juta yang dirampas boleh digunakan oleh 85,658 orang. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Taktik menjadikan serbuk ekstasi seakan serbuk koko gagal mengaburi mata pihak berkuasa dengan tertangkapnya lima lelaki tempatan dalam dua serbuan di Johor Isnin lepas.

Kelima-lima lelaki berusia antara 17 hingga 31 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua rumah sewa sekitar Iskandar Puteri antara 4 hingga 4.30 pagi, kata Ketua Polis Johor M Kumar.

Tambahnya, sindiket ini didapati sudah aktif beroperasi sejak Julai tahun lepas.

“Modus operandi sindiket adalah menjadikan rumah sewa sebagai stor penyimpanan serta pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan sama ada kegunaan peribadi atau di pusat hiburan.

“Mereka turut membungkus semula dadah ke dalam paket minuman berperisa,” katanya pada sidang media di IPK Johor hari ini, lapor Bernama.

Dalam serbuan itu, katanya, polis merampas 23.68kg serbuk ekstasi; 997.4g ketamin; 193.5g ganja; 1,490 pil erimin 5; 41 pil ekstasi; serta pelbagai peralatan membungkus. Dua kereta turut disita, tambahnya.

Beliau berkata, pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1.81 juta ini boleh digunakan oleh 85,658 orang jika terlepas ke pasaran.

Katanya lagi, hasil saringan air kencing mendapati empat daripada suspek positif ketamin, manakala semakan rekod mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kesemua yang ditahan direman tujuh hari hingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Dalam kes berasingan, Kumar berkata, seramai 780 individu termasuk tiga penjawat awam ditahan dalam operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah yang dijalankan di seluruh Johor bermula Isnin lepas hingga semalam.

“Tangkapan tersebut melibatkan mereka berusia lingkungan 18 hingga 70 tahun. Polis turut merampas pelbagai jenis dadah kira-kira 27kg yang dianggarkan bernilai lebih RM3 juta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.