
Mereka termasuk seorang pegawai berpangkat inspektor dan sembilan anggota berpangkat sarjan, koperal, lans koperal dan konstabel.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, satu kertas siasatan tatatertib dibuka ekoran laporan polis berhubung kes itu bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen rasuah atau pelanggaran prosedur trafik.
Siasatan itu menyusul pemeriksaan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (JIPS) Bukit Aman ke atas 10 pegawai dan anggota trafik IPD Petaling Jaya ketika Op Alkohol pada 2.30 pagi tadi.
“Pada pemeriksaan itu, pasukan JIPS Bukit Aman mendapati salah seorang anggota trafik berpangkat sarjan memiliki wang tunai kira-kira RM3,313, selain wang tunai RM440 dalam sebuah kereta,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, 10 anggota itu dikeluarkan daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) sehingga siasatan selesai.
Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid memaklumkan semua anggota itu masih bertugas di daerah sama, tetapi mereka ditukarkan serta-merta ke bahagian bersesuaian sehingga siasatan selesai.
“Siasatan sedang dilakukan bagi mengetahui punca wang yang ditemui. Saya jamin kita akan jalankan siasatan secara telus dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya kita dapati terdapat salah laku.”