Klang Bandar Diraja, bukan ‘Bandar Colombia’, kata KPN

Klang Bandar Diraja, bukan ‘Bandar Colombia’, kata KPN

Razarudin Husain kesal persepsi menggambarkan bandar itu penuh jenayah.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata kadar jenayah di Klang jauh lebih rendah berbanding beberapa bandar lain di Selangor. (Gambar Facebook)
KLANG:
Ketua Polis Negara Razarudin Husain menegaskan Bandar Klang adalah Bandar Diraja dan menolak tanggapan negatif sesetengah pihak bahawa bandar itu seperti ‘Bandar Colombia’ kerana khuatir akan mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Beliau berkata, hasil lawatannya di bandar tersebut tidak menunjukkan seperti yang diperkatakan, sebaliknya ia sebuah bandar aman dan bersih.

“Persepsi tersebut hanya diwujudkan oleh beberapa portal (media) bermula daripada kes ejen hartanah disamun sebelum ini. Saya nak bersihkan bandar ini (daripada) stigma dan persepsi berkaitan Bandar Colombia…ia bukan Bandar Colombia, tetapi ia tetap Bandar Klang, Bandar Diraja,” katanya kepada pemberita selepas program Walkabout Pencegahan Jenayah.

Beliau berkata, pihak polis menjalankan operasi pencegahan jenayah dan tangkapan sejak Januari hingga 1 Feb termasuk bagi kesalahan dadah, antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), kontraban dan jenayah lain.

“Kita tidak akan membenarkan portal-portal media mengatakan bandar ini Bandar Colombia,” katanya menambah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain ada berbincang dengannya berkaitan isu berkenaan dan memaklumkan kenyataan beliau telah disalahtafsirkan.

Razarudin berkata, jika dibandingkan kes jenayah di kawasan lain di Selangor, didapati Gombak, Kajang, dan Petaling Jaya (PJ) merekodkan angka lebih tinggi setakat Januari lepas.

“Untuk tahun ini (setakat Januari), Gombak, PJ dan Klang Selatan. Kalau ikut tahun dulu, Klang Utara ini jatuh bawah lagi,” katanya.

Sebelum ini, Shuhaily pada program Townhall di Persatuan Hokkien di sini menyatakan bahawa kadar jenayah bukan sahaja naik di Klang, malah beliau sedih apabila Klang ditularkan seperti bandar Colombia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.