KKM akan ambil tindakan jualan ‘energy stick’ sasar bawah umur

KKM akan ambil tindakan jualan ‘energy stick’ sasar bawah umur

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad sudah memaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Radzi Abu Hassan supaya mengambil tindakan susulan.

Dzulkefly Ahmad berkata, beliau dimaklumkan mengenai jualan peranti dikenali ‘energy stick’ itu oleh warganet melalui akaun X. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan mengambil tindakan susulan laporan penjualan produk baharu seperti vape yang menyasarkan golongan bawah umur, kata Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai penjualan peranti dikenali “energy stick” itu oleh warganet melalui akaun X.

“Saya sudah awal menerima ‘alert’ ini. Langsung saya beritahu ketua pengarah kesihatan dan timbalan ketua pengarah kesihatan akan aduan yang saya terima daripada sosial media.

“Kita (Kementerian Kesihatan) akan mengambil tindakan segera berhubung perkara itu,” katanya selepas merasmikan Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di Bandar Tun Razak di sini.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan apa tindakan yang akan diambil KKM.

Semalam, New Straits Times melaporkan sebuah kumpulan kesihatan menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan menjalankan ujian ke atas “energy stick” bagi menentukan sama ada ia selamat digunakan dan mempertimbangkan larangan ke atasnya, jika mendapati ia mendatangkan risiko kesihatan.

Dijual dengan tagline “sedut dulu, baru pergi sekolah”, Public Health Malaysia mendakwa promosi peranti itu menunjukkan ia menyasarkan golongan bawah umur.

Peranti yang dijual serendah RM2.50 itu dikatakan mengandungi bahan kimia boleh menjejaskan kesihatan pengguna, termasuk menyebabkan jangkitan dan merosakkan sistem pernafasan.

Dalam perkembangan berasingan, Dzulkefly berkata, semakan semula elaun tugas atas panggilan bagi doktor sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan Radzi tidak lama lagi.

“Saya sudah lihat hasil semakan. Ketua pengarah kesihatan akan buat kenyataan tidak lama lagi mengenai keputusan itu,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Pada 13 Dis lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata, KKM komited mengkaji semula elaun tugas atas panggilan doktor pada kadar RM9 sejam.

Katanya, KKM sudah menyerahkan semula cadangan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Permohonan menaikkan kadar elaun itu kali terakhir disemak pada 2012 dan dibangkitkan kepada JPA pada 2022 serta 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.