3 menteri bincang isu keselamatan ‘online’ kanak-kanak

3 menteri bincang isu keselamatan ‘online’ kanak-kanak

Fahmi Fadzil berkata antara inti pati perbincangan merangkumi perundangan dan kawal selia melindungi kanak-kanak terutama di media sosial.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ada menyuarakan kebimbangan melibatkan kanak-kanak berusia bawah 13 tahun yang mempunyai akaun media sosial.
KUALA LUMPUR:
Fahmi Fadzil akan mengadakan mesyuarat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dan Menteri Digital Gobind Singh Deo berkaitan pelaksanaan jawatankuasa teknikal berkait isu keselamatan dalam talian, terutama melibatkan kanak-kanak.

Menteri komunikasi itu berkata, keselamatan kanak-kanak menjadi keutamaan kerajaan dengan satu daripada fokus adalah memastikan pematuhan kepada undang-undang sedia ada menerusi media sosial.

“Insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan selaraskan dengan beberapa kementerian untuk melihat dari segi perundangan apa yang perlu dipinda atau diwujudkan serta tindakan-tindakan yang perlu diambil sekarang,” katanya selepas melancarkan Youth Empowerment Fair (YEF2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Fahmi berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan TikTok selepas perayaan Tahun Baharu Cina, serta beberapa pengendali media sosial lain untuk membincangkan isu keselamatan kanak-kanak dalam talian.

Terdahulu, ketika menjadi panel dalam forum YEF2024, Fahmi turut berkongsi pengalaman di kawasannya di Lembah Pantai apabila terdapat ramai pelajar sekolah bawah umur yang mempunyai akaun TikTok.

Justeru, beliau berkata aspek kawal selia diperlukan antaranya untuk melihat isu pemilikan akaun TikTok dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 13 tahun.

Sementara itu, Fahmi mengingatkan pempengaruh untuk mengawal secara kendiri dan berhati-hati apabila mengendalikan audio siar atau memuat naik kandungan di media sosial supaya tidak memberikan kesan kepada masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa serta meneliti sebarang tindakan yang perlu diambil.

“Di kawasan saya Lembah Pantai, saya minta guru-guru besar, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) untuk menyampaikan kepada ibu bapa dan kanak-kanak sekolah rendah untuk berhati-hati dengan apa yang mereka peroleh daripada media sosial termasuk ‘podcast’ (audio siar) dan platform TikTok supaya tidak terpengaruh.

“Insya-Allah, kita akan selaraskan beberapa tindakan kerjasama yang boleh diusahakan sekali dengan Kementerian Pendidikan,” katanya, merujuk kepada isu pempengaruh media sosial yang sering kali membuat kandungan kurang membina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.