
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, isu berkaitan akan turut diselesaikan mengambil kira peranan berbeza dimainkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam memaparkan imej negara.
Bagi Kuala Lumpur, katanya, isu legasi yang menjadi kebimbangan rakyat seperti masalah dihadapi peniaga, lambakan warga asing dan gelandangan, selain program membasmi kemiskinan bandar akan diutamakan.
Bagi Labuan, beliau berkata, pihaknya mempunyai visi untuk menjadikan pulau yang mempunyai julukan “Mutiara Borneo” itu sebagai hab pelancongan dengan memperkemas dan memperkasakan produk pelancongan sedia ada.
“Putrajaya pula membawa imej sedikit berbeza, ia merupakan pusat pentadbiran negara yang juga bandar terancang…apa yang kita mahu perkemas di situ adalah menjadikannya bandar pintar dan pusat pelancongan,” katanya sambil memaklumkan perkara itu akan dijelaskan lebih lanjut dalam amanat pertamanya sebagai menteri Selasa depan.
Zaliha berkata demikian selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama barisan ketua pengarang organisasi media tempatan di sini, malam tadi.
Mengenai majlis itu, katanya, ia diadakan bagi memastikan maklumat berkaitan hala tuju Jabatan Wilayah Persekutuan disampaikan secara terus kepada barisan ketua pengarang agar ia kemudiannya dapat disampaikan secara tepat kepada rakyat.
Beliau berkata, ketua pengarang atau wakil yang hadir turut berkesempatan berkongsi pandangan dan menyarankan lebih banyak maklumat mengenai pelbagai inisiatif jabatan itu disampaikan secara terperinci.
“Apa yang penting ialah kita (kerajaan dan organisasi media) dapat bersama-sama menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.”