
Meminta pengguna terbuka menerima perubahan, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu menjelaskan tindakan terbabit sepatutnya dibuat 10 atau 20 tahun lalu, bagaimanapun ditangguhkan.
Bekas Ahli Parlimen Klang itu berkata cadangan berkenaan telah dibincangkan ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2018, namun dilaksanakan di bawah pemerintahan Anwar Ibrahim yang mempunyai keazaman politik demi kepentingan masa depan.
Santiago pernah dilantik pengerusi SPAN bagi tempoh dua tahun bermula 1 Nov 2018 hingga 31 Okt 2020 namun perkhidmatannya ditamatkan lima bulan lebih awal. Kerajaan melantiknya semula bagi penggal 2023 hingga 2025.
“Malaysia harus membuat pelaburan berkenaan untuk mengatasi kepincangan dan masalah dihadapi operator sedia ada.
“Ini satu pelaburan oleh rakyat dan negara untuk masa depan,” kata Santiago pada program bual bicara Kerusi Panas bersama Wan Agyl terbitan FMT.
Pada 17 Jan, SPAN mengumumkan pelarasan tarif air purata 22 sen bagi setiap meter padu untuk pengguna domestik di Semenanjung dan Labuan, berkuat kuasa 1 Feb.
Bagaimanapun kenaikan itu masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod 2022.
Seorang ahli ekonomi Geoffrey Williams menyokong keputusan itu dan menggambarkannya sebagai pelaburan yang baik kerana kos tinggi membekalkan air bersih.
Sementara itu, Santiago turut mencadangkan Putrajaya dan kerajaan negeri bekerjasama mengatasi masalah air tidak berhasil yang merugikan kerana bekalannya tidak sampai ke rumah serta tidak dibilkan.
Beliau mencadangkan peruntukan RM10 bilion setahun disalurkan atau perbelanjaan itu dikongsi dengan swasta untuk tempoh tiga tahun.