SPAN ‘disiplinkan’ operator air, kata Santiago

SPAN ‘disiplinkan’ operator air, kata Santiago

Charles Santiago berkata SPAN akan memastikan pembekal air meningkatkan mutu perkhidmatan seiring pelarasan tarif, berkuat kuasa 1 Feb.

Pengerusi SPAN Charles Santiago berkata operator air sebelum ini memberi alasan masalah kewangan apabila diminta menambah baik pelan perniagaannya.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan ‘mendisiplinkan’ operator air di setiap negeri untuk meningkatkan mutu perkhidmatan seiring pelarasan tarif, berkuat kuasa hari ini.

Bercakap pada program Kerusi Panas bersama Wan Agyl terbitan FMT, Pengerusinya Charles Santiago memberi amaran tiada lagi alasan kewangan buat syarikat terbabit melengahkan atau menanguh penambahbaikan untuk keselesaan pelanggan.

Menurutnya, kerajaan telah memenuhi permintaan dengan menyelaraskan tarif air domestik purata 22 sen bagi setiap meter padu di Semenanjung dan Labuan.

“SPAN akan mendisiplinkan mereka (operator)…tiada lagi cakap-cakap, tiada lagi perbincangan,” katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Klang.

Santiago menjelaskan tambah baik perlu dilakukan termasuk teguran SPAN terhadap pelan perniagaan syarikat operator air sebelum ini, namun tidak dilaksanakan kerana kekangan kewangan.

“Bila kita tunjukkan masalah terhadap pelan perniagaan (operator air), jawapan selalu (diberi) ialah mereka tiada wang.

“Sekarang sudah ada (hasil selepas pelarasan tarif air)…jadi dengan wang itu mesti buat penambahbaikan. Itu janji kita (SPAN),” katanya.

Pada 17 Jan, SPAN mengumumkan pelarasan tarif berkenaan yang bagaimanapun disifatkan masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod 2022.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan Putrajaya bersetuju dengan pelarasan itu selepas mendapat permintaan daripada semua kerajaan negeri.

Susulan pengumuman SPAN itu, hampir semua kerajaan negeri mengumumkan pelarasan tarif air untuk pengguna domestik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.