Mangsa dedah modus operandi scammer skim labur kripto

Mangsa dedah modus operandi scammer skim labur kripto

Wanita itu berkata sindiket memperdaya mangsa dengan menanam ejen yang gemburkan keuntungan besar diperoleh.

Skim penipuan mata wang kripto pada awalnya benar pengeluaran untung, sebelum mengenakan bayaran tertentu selepas itu.
PETALING JAYA:
Scammer pelaburan akan mengambil masa berminggu bagi mewujudkan “kawalan psikologi” terhadap mangsa demi memastikan mereka masuk perangkap.

Mendedahkan taktik penipuan pelaburan mata wang kripto, seorang pengurus berusia 40an yang enggan dikenali, berkata sindiket mula berkongsi “maklumat masa sebenar pasaran kewangan” dalam kumpulan WhatsApp, dengan memaparkan pendapatan diraih ahli kumpulan lain.

Katanya, scammer termasuk individu berlagak “guru” kononnya mengajar ilmu pelaburan dalam talian, turut dimasukkan dalam kumpulan sembang itu bagi menimbulkan keyakinan pelabur. Perbincangan berkisar terhadap penilaian pelaburan dalam pasaran kewangan Amerika Syarikat, yang kelihatan seperti benar.

“Guru” yang dikaitkan dengan teknik pelaburan dipeloporinya mula mendapat kepercayaan mangsa. Scammer kemudian mengukuhkan kredibilitinya dengan mengekalkan status laman web syarikat yang sah, selain halaman Facebook lengkap penganjuran acara dan video.

“Ini meyakinkan pelabur berpotensi dan mereka benar-benar ada di sini (di Malaysia),” kata pengurus itu kepada FMT.

“Juga, apabila anda telah mendaftar, anda mesti memuat naik alamat, nombor kad pengenalan, dan bukti kediaman. Ini membolehkan mereka menapis latar belakang dan data peribadi anda.

“Ada juga dalam kumpulan sembang itu menghantar slip bank akaun perbankan mereka yang mempunyai simpanan jutaan ringgit,” katanya.

“Guru” itu juga secara licik meletakkan beberapa ahli dalam kumpulan WhatsApp agar membuat pujian melambung terhadap “pulangan besar” diraih.

Mangsa berkata, ejen ditanam ini bertindak seperti pengikut kultus “guru” itu sehingga ke tahap “pengagungan”. Mereka juga menarik ahli supaya melabur skim mata wang kripto, yang pada awalnya membenarkan pengeluaran.

Masalah mula timbul apabila pentadbir kumpulan yang bercakap bagi pihak “guru”, secara mengejut mengarahkan semua pemegang akaun Malaysia mengeluarkan baki pelaburan kerana ada siasatan oleh pihak berkuasa.

Tindakan itu membangkitkan curiga dalam kalangan pemegang akaun yang diminta menentusahkan baki dengan mengenakan bayaran pengesahan tinggi, di mana mereka menjanjikan bayaran penuh semula.

“Mereka memberi jaminan bahawa kami akan mendapat semula wang sejurus mereka sahkan (baki kami). Itulah penghujungnya,” katanya.

Curiga dengan apa yang berlaku, mangsa itu kemudian menghantar teks kepada “guru”dan ahli kumpulan lain yang sebelum ini mendakwa telah meraih lebih RM1 juta menerusi skim pelaburan tersebut.

“Mereka segera mengeluarkan saya daripada kumpulan. Mereka lain yang bertanyakan sama ada pelaburan dibuat adalah scam juga ditendang keluar. Saya mendedahkan modus operandi agar orang awam tidak terpedaya dengan sindiket ini lagi,” kata wanita itu.

Baru-baru ini, terdapat beberapa laporan berkait kes penipuan pelaburan skim mata wang kripto, termasuk melibatkan seorang pesara berusia 80 tahun yang kerugian RM10 juta, pada 27 Jan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Ramli Yoosuf, berkata berdasarkan laporan polis, pesaran berkenaan menyertai skim pelaburan selepas dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp yang bertindak mempromosi skim pelaburan terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.