‘Insya-Allah minggu ini’, kata Zaliha berkait keputusan pengampunan Najib

‘Insya-Allah minggu ini’, kata Zaliha berkait keputusan pengampunan Najib

Dr Zaliha Mustafa berkata 'diharapkan' keputusan lembaga pengampunan akan diumumkan minggu ini.

Sebelum ini timbul khabar angin Najib Razak akan diberikan pengampunan susulan laporan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat di Istana Negara pada Isnin.
PUTRAJAYA :
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata status permohonan pengampunan diraja Najib Razak “mungkin” diumumkan minggu ini.

“Insya-Allah..minggu ini akan diumumkan,” jawabnya ringkas kepada pemberita di satu acara, di sini, hari ini.

“Sabar, sabar dan yakin, tunggu kenyataan dikeluarkan.”

Sebelum ini timbul khabar angin Najib akan diberikan pengampunan susulan laporan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat di Istana Negara pada Isnin.

Zaliha yang menganggotai lembaga itu, sebelum ini mengesahkan satu mesyuarat diadakan tetapi tidak mendedahkan jika permohonan Najib dibincangkan.

Pada sidang media semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Jemaah Menteri dimaklumkan tentang permohonan untuk mengampunkan bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan secara “sepintas lalu” tanpa huraian lanjut, dan hal pengampunan bukan bidang kuasa Jemaah Menteri.

“Kita bincang tapi kita faham ini di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan,” katanya.

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, sejurus Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dalam kes SRC International.

Peguamnya, Shafee Abdullah, sebelum ini berkata permohonan pengampunan pertama kali dikemukakan pada September 2022, dan tambahan kepada petisyen itu difailkan pada Oktober tahun itu dan April 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.