Guna e-dompet, DuitNow untuk bayaran lebih cepat, PKS diberitahu

Guna e-dompet, DuitNow untuk bayaran lebih cepat, PKS diberitahu

Pengerusi Samenta William Ng juga menyatakan isu lebih besar dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), iaitu kadar diskaun saudagar yang lebih tinggi.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana William Ng berkata pengurangan masa pengeluaran akan meningkatkan jualan dan aliran tunai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan perniagaan menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima pembayaran e-dompet dan menggunakan perkhidmatan seperti DuitNow untuk mengurangkan masa pengeluaran dan meningkatkan jualan serta aliran tunai.

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) berkata, bank biasanya menyelesaikan pembayaran kepada peniaga dalam tempoh 48 jam.

Mengulas gesaan Presiden MCA Wee Ka Siong baru-baru ini supaya bank melengkapkan pemprosesan pembayaran dalam tempoh itu, Pengerusi Samenta William Ng berkata walaupun “tidak kritikal”, isu dibangkitkan tetap penting.

“Samenta telah bekerjasama dengan bank untuk menggalakkan sebanyak mungkin PKS menggunakan QR Pay dan menerima pembayaran e-dompet.

“Ini mengurangkan kelewatan pengeluaran yang disebabkan, antara lain oleh perjanjian bank yang menerima transaksi dengan penyedia kad pembayaran.”

Ng berkata, walaupun pembayaran melalui kad kredit pilihan lebih baik untuk PKS menerima pembayaran masa nyata namun ia mungkin tidak sesuai berikutan kebimbangan potensi penipuan kad dan transaksi melibatkan kad kredit keluaran asing.

Beliau juga menyatakan isu lebih besar untuk PKS iaitu kadar komisen yang tinggi, dikenali sebagai kadar diskaun saudagar (MDR), yang dikenakan dengan bank yang menerima transaksi kepada peruncit.

“Sesetengah kedai rangkaian besar dan stesen minyak dikenakan caj MDR serendah 0.25 manakala PKS lazimnya dicaj 1.5 hingga 5%,” katanya kepada FMT.

“Sudah tiba masa untuk Bank Negara Malaysia mengambil tindakan dan membuat kajian lain bersama-sama bank untuk melihat bagaimana kadar ini boleh diturunkan ke tahap minimum, pembayaran e-dompet kini menjadi kelaziman.”

Jumaat lalu, Wee berkata bank harus menyelesaikan pembayaran kepada peniaga dalam tempoh 48 jam untuk meningkatkan aliran tunai peniaga dan meningkatkan “halaju wang” ekonomi.

Beliau juga berkata, bank tidak perlu lagi menjadikan cuti umum dan hujung minggu sebagai alasan untuk menangguhkan pembayaran kepada peniaga, terutama dengan peningkatan penggunaan e-pembayaran dan automasi teknologi maklumat.

Setiausaha Agung Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong, setuju bahawa sebarang kelewatan pembayaran, terutama semasa cuti umum adalah tidak boleh diterima.

“Bagi peruncit dan PKS yang lebih kecil, satu hingga dua hari tidak begitu penting, tetapi jika anda bercakap tentang urus niaga lebih besar, jenis transaksi yang lebih besar setiap hari, maka ia pasti akan menjejaskan aliran tunai,” katanya sambil menambah ia kemudian akan menjejaskan pembayaran kepada pembekal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.