
Bastian Pius Vendargon berkata, jika tidak, pihak tidak bersetuju berhak mendapatkan remedi di mahkamah bagi melindungi dan melaksanakan haknya mengikut Perlembagaan.
“Apa jua pindaan dalam perlembagaan parti tidak boleh mengatasi peruntukan nyata dalam undang-undang tertinggi negara (Perlembagaan Persekutuan), atau ia tertakluk untuk dicabar mengikut undang-undang,” katanya kepada FMT.
Vendargon mengulas kenyataan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin pada Isnin, menyatakan Majlis Pimpinan Tertinggi bersetuju meminda Perkara 10 perlembagaan parti demi memastikan wakil rakyatnya menurut arahan.
Keputusan itu dibuat susulan enam Ahli Parlimen Bersatu, Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, minggu lalu, tanpa keluar parti bagi mengelak berlaku kekosongan kerusi.
Beliau mengikuti langkah sama dibuat sebelum ini oleh Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), and Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).
Hamzah berkata, pimpinan parti juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka dalam usaha mengosongkan kerusi disandang.
Vendargon berkata, walaupun wakil rakyat yang memberontak boleh dikenakan tindakan disiplin dan dipecat, ia berkemungkinan tidak berlaku kerana mereka kemudiannya bebas menyertai atau menyokong parti lain.
Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar, berkata masalah dihadapi Bersatu boleh diatasi jika peruntukan asal undang-undang anti-lompat parti diluluskan di Parlimen.
Dalam peruntukan asal, kerusi dianggap kosong jika Ahli Parlimen mengambil jalan bertentangan dengan pendirian parti atau gagal bertindak mengikut arahan whip parti di Dewan Rakyat.
Ketika ini, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, yang lebih dikenali undang-undang anti-lompat parti, menyatakan kerusi Ahli Parlimen kosong dalam satu daripada tiga situasi: jika penyandang meletak jawatan daripada parti, berhenti menjadi ahli atau menyertai parti politik lain.
Bagaimanapun, peruntukan itu tidak menyentuh situasi di mana Ahli Parlimen pembangkang menyokong kerajaan tanpa melanggar ketiga-tiga tindakan yang diperincikan berkenaan.
“Buat masa sekarang, mana-mana Ahli Parlimen dari parti atau gabungan lain boleh menyokong perdana menteri. Kerusi mereka tidak akan diisytiharkan kosong,” kata Syed Iskandar.