
Menyatakan kebimbangan mengenai peluasan perkhidmatan bercukai merangkumi sektor logistik, Presiden FMM Soh Tian Lai berkata, langkah itu mungkin meningkatkan kos sepanjang rantaian bekalan, menjejaskan barangan domestik yang dijual dan mengurangkan daya saing eksport Malaysia.
“Logistik, tidak seperti perkhidmatan bercukai lain seperti perundingan, perundangan, perakaunan awam dan lain-lain, merupakan sebahagian besar (8% hingga 15%) daripada kos operasi kerana ia kos berulang yang perlu dibayar pengilang kepada penyedia perkhidmatan apabila barangan digerakkan sepanjang rantaian bekalan secara domestik atau perdagangan (import dan eksport),” katanya dalam kenyataan.
Soh berkata, kenaikan cukai itu terutamanya akan menjejaskan perniagaan di Sabah dan Sarawak, yang mana kos logistiknya boleh mencecah 25% disebabkan kos tambahan bagi penghantaran dan pengangkutan.
Melainkan pengecualian diberikan, katanya, perusahaan mungkin akan menyalurkan beban cukai kepada pengguna, iaitu dalam bentuk kenaikan harga barangan di dalam negara dan produk eksport.
“Memandangkan cukai perkhidmatan ke atas logistik memberi impak bukan sahaja kepada operasi perkilangan tetapi keseluruhan rantaian bekalan, kami amat menghargai jika kerajaan boleh berunding dengan industri untuk menyelesaikan semua kebimbangan dan memperkenalkan mekanisme pengecualian yang berkesan sebelum pelaksanaan cukai itu dimuktamadkan,” kata Soh.
Mulai 1 Mac, SST akan meningkat daripada 6% kepada 8% bagi semua perkhidmatan bercukai kecuali makanan dan minuman, perkhidmatan telekomunikasi dan perkhidmatan ruang letak kenderaan.
Kenaikan SST itu diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan persekutuan Oktober lepas.
Dalam kenyataannya, Soh juga berkata, FMM dimaklumkan semasa sesi libat urus dengan Kementerian Kewangan sebelum ini bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengecualikan cukai perkhidmatan logistik secara eksklusif untuk barangan eksport.
“Walaupun kami mengalu-alukan cadangan untuk memberikan pengecualian bagi (barangan) eksport, penting untuk cukai perkhidmatan dikecualikan bagi semua urus niaga perdagangan, termasuk import, disebabkan sifat pembuatan dan perdagangan, serta ketersediaan sumber material,” katanya.
Soh berkata, FMM telah mengesyorkan agar pengecualian cukai perniagaan-ke-perniagaan (B2B), yang kini terpakai bagi penyedia perkhidmatan logistik, diperluas untuk merangkumi sektor pembuatan dan lain-lain.
“(Ini) supaya mana-mana perusahaan yang mempunyai nombor lesen SST tidak dikenakan cukai jualan atau perkhidmatan. Ini bermakna hanya perusahaan borong, runcit dan pengguna akhir, atau perusahaan SST tidak berdaftar akan membayar cukai,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa syor FMM itu memerlukan kajian menyeluruh dan potensi pindaan undang-undang sedia ada seperti Akta dan Peraturan Cukai Jualan dan Perkhidmatan, atau penggubalan undang-undang tambahan untuk menyokong pengecualian cukai B2B.
“Sehubungan itu, kami meminta cukai ke atas perkhidmatan logistik ditangguhkan agar mekanisme pengecualian dapat dikaji lebih lanjut untuk membantu meringankan beban cukai bagi pengilang,” katanya.