PN hanya pandai cakap politik, pemimpin Umno jawab Fadhli

PN hanya pandai cakap politik, pemimpin Umno jawab Fadhli

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razlan Rafii mendakwa PN gagal membentuk dasar membela Melayu/Bumiputera ketika mentadbir.

Razlan Rafii berkata pemimpin PAS termasuk Ahmad Fadhli Shaari menyedari semakin ramai Ahli Parlimen PN menyokong kerajaan perpaduan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno yakin ketegasan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan akan membuka mata pengundi atas pagar bahawa parti itu berjaya mempertahankan hak orang Melayu dan Islam daripada dipersenda pihak lain.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Razlan Rafii berkata walaupun Perikatan Nasional (PN) mendakwa sebagai “juara” berkait isu hal ehwal Melayu dan Islam, namun mereka gagal ketika menjadi kerajaan.

“Kononnya mereka pejuang Melayu tetapi tidak banyak dasar pun yang mereka buat sewaktu berkuasa, sebaliknya hanya cakap politik didendang PAS dan Bersatu,” katanya kepada FMT.

Sebaliknya, tegas beliau, Umno yang bersama dalam kerajaan perpaduan sentiasa berusaha memartabatkan agenda pemantapan kerohanian dengan memperkasa dan mengaktifkan semula dasar pendidikan tahfiz negara bermula dari sekolah tadika.

“Walaupun BN-Umno kononnya dituduh oleh puak PN kita (Umno) tak jaga Melayu (sebaliknya) kita memperkuatkan dasar tahfiz negara yang telah dibekukan oleh Tun M (Mahathir Mohamad) dan Muhyiddin (Yassin),” katanya merujuk Dasar Tahfiz Negara dilancar pada 2018 namun dihentikan selepas pertukaran kerajaan.

Razlan mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang secara sinis berkata orang Melayu mudah membuat pendirian awal dalam PRU akan datang selepas Presiden Umno Zahid Hamidi mahu kerjasama antara PH dan BN kekal hingga selepas PRU16.

Ahad lalu, ketika berucap di Konvensyen Kerajaan Perpaduan peringkat Perak, Zahid mahu kerjasama dua gabungan itu bukan sekadar kelihatan dalam kalangan ahli politik, namun perlu dipamerkan di akar umbi.

Tambah Razlan, PAS seharusnya sedar perkembangan politik semasa menyaksikan gabungan kerajaan perpaduan lebih dipercayai apabila satu persatu Ahli Parlimen PN menyokong Anwar Ibrahim.

“Ahli Parlimen PN hilang kepercayaan pentadbiran kepada parti mereka sendiri… ini bukti.

“Walaupun dimomokkan PN kuat PN mempunyai gerakan untuk kuatkan orang Melayu tetapi kita lihat wakil rakyat mereka yang sepatutnya jadi benteng kepada parti tetapi lari dan hilang kepercayaan kepada PN itu sendiri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.