Media perlu lebih hati-hati lapor berita, kata Fahmi

Media perlu lebih hati-hati lapor berita, kata Fahmi

Sebuah akhbar berbahasa Melayu memetik sumber sebagai berkata, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk memberi pengampunan diraja kepada Najib Razak.

Fahmi Fadzil berkata, media perlu menunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan sama ada Najib Razak diberikan pengampunan diraja. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil mengingatkan media lebih berhati-hati dalam melaporkan berita.

Terdahulu, Utusan Malaysia hari ini memohon maaf selepas menyiarkan artikel mendakwa bekas perdana menteri, Najib Razak diberikan pengampunan diraja.

Akhbar berbahasa Melayu itu memetik sumber sebagai berkata, Lembaga Pengampunan memutuskan semalam untuk memberi pengampunan kepada Najib, yang dipenjarakan sejak 2022.

Artikel itu yang ditulis semula oleh beberapa media lain, kemudiannya ditarik balik Utusan atas alasan “fakta yang tidak boleh disahkan”.

“Saya semak dengan StratComm Kabinet dan Azalina (Othman Said)(menteri di Jabatan Perdana Menteri) memaklumkan bahawa kita kena tunggu kenyataan dari Lembaga Pengampunan.

“Kita nantikan kenyataan rasmi sebelum kita membuat berita. Memilih untuk membuat berita berdasarkan sumber, kadangkala kita tak pasti sumber itu bagaimana.

“Dan dalam perkara yang sah, lebih penting untuk kita pastikan kesahihan maklumat yang kita terima sebelum kita terbitkan berita,” kata menteri komunikasi itu.

Fahmi berkata, media perlu menunggu kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan dan tidak boleh memetik sumber berhubung perkara itu.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, Lembaga Pengampunan akan mengeluarkan kenyataan selepas mesyuaratnya di Istana Negara semalam.

Beliau mengesahkan menghadiri mesyuarat lembaga itu, tetapi tidak mendedahkan sama ada mereka membincangkan permohonan Najib.

Ini menyusul laporan The Edge bahawa keputusan mengenai permohonan Najib untuk pengampunan diraja akan didedahkan hari ini.

Najib memulakan hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dalam kes SRC International.

Peguamnya, Shafee Abdullah dilaporkan berkata, petisyen untuk pengampunan pertama kali dikemukakan pada September 2022 dan tambahan kepada permohonan itu difailkan pada Oktober tahun itu dan April 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.