Malaysia naik 4 tangga indeks persepsi rasuah global

Malaysia naik 4 tangga indeks persepsi rasuah global

Ini julung kali dalam tempoh tiga tahun Malaysia dapat 50 mata.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah tahunan Transparency International meningkat daripada tangga ke-61 pada 2022 kepada 57 pada 2023.
PETALING JAYA:
Malaysia buat julung kali dalam tempoh tiga tahun mendapat 50 mata dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International tahun lalu berbanding 47 mata pada 2022.

Pada 2019, skor CPI Malaysia ialah 53, sebelum merosot kepada 51 mata pada 2020 dan 48 tahun berikutnya.

CPI menggunakan skala 0 (dianggap sangat korup) hingga 100 (dianggap sangat bersih).

Dalam laporan terbaharu kumpulan antirasuah itu, ranking Malaysia dalam kalangan 180 negara ditinjau meningkat daripada tangga ke-61 pada 2022 kepada 57 tahun lalu.

Transparency International-Malaysia (TI-M) dalam laporannya berkata, peningkatan itu mungkin disebabkan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara dalam mendakwa dua bekas perdana menteri, iaitu Najib Razak dan Muhyiddin Yassin.

Ia juga memetik penolakan rayuan terakhir Najib dalam kes rasuah SRC International pada Ogos 2022.

Katanya, peralihan kuasa yang lancar selepas PRU 2018 dan 2022 menunjukkan “kewujudan dan penghormatan” terhadap prinsip demokrasi.

TI-M berkata, ada beberapa perkembangan positif dalam memerangi rasuah selepas kerajaan perpaduan mula berkuasa pada November 2022.

Ini termasuk arahan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengenai tadbir urus baik, siasatan berterusan terhadap kekayaan bekas ahli politik yang tidak didedahkan, dan kerajaan menetapkan sasaran CPI nasional dalam tempoh 10 tahun.

Julai lalu, Anwar dilaporkan berkata, Malaysia sepatutnya disenaraikan antara 25 negara teratas dalam CPI itu menjelang 2033.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.