Bapa ditahan ugut guru, dakwa anak dipukul kerana merokok

Bapa ditahan ugut guru, dakwa anak dipukul kerana merokok

Polis berkata, guru itu ke tandas dan terhidu bau asap rokok, selain mendapati tiga pelajar berada dalam tandas.

Polis menahan lelaki 49 tahun itu kerana mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap guru sekolah. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang bapa ditahan mengugut guru kerana mendakwa anaknya dipukul selepas didapati merokok dalam tandas sekolah.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, pengadu 40 tahun yang juga guru sekolah itu dimaklumkan pelajarnya ada pelajar lain merokok dalam tandas pada 9.30 pagi semalam.

Katanya, guru itu terus ke tandas dan terhidu bau asap rokok, selain mendapati tiga pelajar berada dalam tandas.

“Pengadu mahu membawa pelajar ke bilik disiplin, tetapi pelajar tersebut bertindak agresif dan hasil pemeriksaan beg menemui satu kotak rokok,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, bapa pelajar itu ke sekolah dalam keadaan marah dan mempersoalkan kenapa memukul anaknya, di mana pengadu menjelaskan beliau menahan dan membuat pemeriksaan ke atas pelajar terbabit.

“Bagaimanapun, suspek tidak dapat menerima penjelasan tersebut dan terus memaki hamun serta mengamuk.”

Katanya, suspek 49 tahun itu ditahan kerana mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap guru sekolah dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Satu video tular seminit 16 saat menunjukkan insiden guru dan pelajar bertengkar dalam bangunan sekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.