Zoo Johor akan dibuka semula April

Zoo Johor akan dibuka semula April

Zoo yang sedang dinaik taraf itu mampu mengangkat Johor sebagai destinasi pilihan utama pelancong, kata MB.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengadakan lawatan ke Zoo Johor hari ini bagi meninjau kerja naik taraf di zoo tertua negara itu. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Zoo Johor yang kini ditutup bagi kerja-kerja menaik taraf fasa satu akan dibuka semula kepada orang ramai pada April ini.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata, zoo yang akan berwajah baharu itu akan menjadi antara daya tarikan di Johor, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai destinasi pilihan utama pelancong.

“Menerusi lawatan hari ini, saya dimaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan meliputi lima zon utama iaitu balai ketibaan, pintu masuk utama, pekarangan, sebahagian sangkar burung serta tempat penyediaan makanan haiwan yang baharu.

“Kerja-kerja penyelenggaraan ini dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya di Facebook

Beliau berkata, kerajaan negeri akan sentiasa komited untuk memperkukuh dan memperbaiki kualiti perkhidmatan dengan menambah baik segala prasarana dan kemudahan bagi menjadikan Johor destinasi pelancongan terbaik rantau ini.

Baru-baru ini, kerajaan negeri menerima peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi kerja-kerja menaik taraf zoo itu.

Zoo Johor yang terletak di pusat bandar raya ini mula dibuka pada 1928 dan merupakan zoo tertua negara dengan keluasan 12.5 hektar, mempunyai lebih 100 spesies haiwan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.