Warga Indonesia maut dengan kesan cedera ditemukan

Warga Indonesia maut dengan kesan cedera ditemukan

Mangsa ditemukan di tepi tangga berhampiran lif di sebuah blok pangsapuri di Desa Mentari pagi tadi.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya masih belum mengenal pasti suspek dan meminta orang ramai yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang wanita dipercayai warga Indonesia ditemukan maut dengan kecederaan di badannya berhampiran lif di tingkat lima sebuah blok di Desa Mentari, pagi tadi.

Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6.30 pagi.

Katanya, polis yang tiba di lokasi menemukan mayat wanita dipercayai berusia 20an itu dalam keadaan berlumuran darah di tepi tangga Blok 5 pangsapuri terbabit.

Beliau berkata, pihaknya belum dapat memastikan kecederaan dialami mangsa dan mereka menunggu pasukan forensik dari IPK Selangor untuk menjalankan siasatan.

“Setakat ini, suspek belum dikenal pasti dan kita meminta sesiapa yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kita juga akan membuat pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya menurut Harian Metro.

Fakhrudin juga berkata polis akan merakam keterangan bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.