
Ketibaan Wan Junaidi bersama isteri Fauziah Mohd Sanusi disambut oleh Premier Sarawak Abang Johari Openg dan isteri Juma’ani Tuanku Bujang serta Speaker DUN Mohd Asfia Awang Nasar.
Istiadat dimulakan dengan memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan Utama oleh 102 pegawai dan anggota polis diketuai oleh Mohamad Zaini Ismail, seterusnya diikuti dengan Istiadat Angkat Sumpah Perlantikan di Dewan Lapau pada 4 petang.
Wan Junaidi mengangkat sumpah sebelum menandatangani Surat Sumpah disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli.
Beliau kemudiannya menandatangani Surat Pengisytiharan sebagai Yang di-Pertua Negeri disaksikan oleh premier Sarawak.
Wan Junaidi, yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-78 pada 1 Feb ini telah menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada Jumaat lepas.
Perlantikan beliau mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Jan lepas sehingga 26 Jan 2028, mengantikan Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.