Sultan Abdullah buat keputusan tepat lantik 3 PM

Sultan Abdullah buat keputusan tepat lantik 3 PM

Bekas ketua hakim negara Md Raus Sharif berkata keputusan baginda konsisten dengan keputusan Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Sepanjang lima tahun pemerintahan, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sangat berhemah dan tidak gopoh membuat keputusan ketika berdepan krisis politik. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sangat berhemah dan tidak tergopoh-gapah ketika membuat keputusan berhubung krisis politik sepanjang lima tahun pemerintahan baginda.

Penasihat Undang-Undang Yang di-Pertuan Agong, Abdul Rahman Putra Taha, berkata Sultan Abdullah terserlah dengan kewibawaan baginda yang sentiasa tenang menghadapi kemelut politik dan krisis Perlembagaan.

“Saya berasa begitu bertuah dan bernasib baik secara peribadi…dan saya merasakan memang Allah telah memilih Sultan Abdullah untuk berada bersama kita ketika negara menghadapi krisis.

“Tuanku berhemah sekali, walaupun ada yang mengkritik, tuanku berbincang dan menjemput Raja-Raja Melayu dan itulah kekuatan tuanku yang sebenarnya.

“Setelah mendapat pandangan dan bermusyawarah, tuanku akhirnya membuat keputusan tuanku sendiri. Itu yang pentingnya, baginda membuat keputusan selepas mendapatkan semua fakta dan angka serta maklumat diperlukan,” katanya.

Selaku individu paling dekat dengan Sultan Abdullah berkaitan hal perundangan, beliau menyifatkan baginda sebagai pemimpin yang tepat bagi mengemudi negara ketika berdepan pelbagai krisis pentadbiran.

Rahman juga berkata, kewibawaan Sultan Abdullah menjadi pencetus idea penerbitan e-buku bertajuk “Test of A King” yang dilancarkan di Istana Negara hari ini.

E-buku 66 muka surat itu berkisar tentang kebijaksanaan dan dedikasi baginda dalam mengharungi serta mengemudi negara melalui pelbagai cabaran semasa ketidaktentuan politik.

Bekas ketua hakim negara Md Raus Sharif pula berkata, Sultan Abdullah membuat keputusan tepat berkaitan pelantikan perdana menteri kelapan hingga kesepuluh.

“Apa yang tuanku lakukan dalam pelantikan perdana menteri adalah konsisten dengan apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan sebelum ini dalam kes Zambry Abd Kadir melawan Mohammad Nizar Jamaluddin, dan saya adalah seorang daripada hakim yang terlibat.

“Saya amat bertuah kerana dipelawa untuk menyumbang satu artikel dalam e-buku tuanku,” katanya.

Bagi bekas presiden Badan Peguam Malaysia (2011-2013) Lim Chee Wee, jemputan untuk menjadi antara penulis e-buku itu adalah satu penghormatan dan memberi peluang kepada beliau merumuskan kebijaksanaan tuanku dari sudut pandangan seorang peguam.

“Ini adalah ringkasan paling menarik yang pernah saya berikan mengenai pemerintahan tuanku dan pengajaran yang kita boleh dapat daripada baginda.

“Seperti yang saya nyatakan dalam artikel itu, perkara seperti ini belum pernah berlaku dan keputusan baginda menjadi duluan yang bakal menjadi ikutan raja-raja di negara kita pada masa akan datang,” katanya.

Sultan Abdullah akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Jan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.