Tiada masalah, jika berpuluh beralih tapi sokongan rakyat menaik, tegas PAS

Tiada masalah, jika berpuluh beralih tapi sokongan rakyat menaik, tegas PAS

Dalam politik pilihan raya yang penting ialah sokongan rakyat ketika mengundi nanti, kata Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menyifatkan ‘cadangan’ Shahrir Samad sebagai ‘agak ganjil’.
PETALING JAYA:
Peralihan sokongan beberapa Ahli Parlimen kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak akan jadi masalah jika sokongan rakyat terus meningkat, kata PAS.

Malah, Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari berkata perkara penting dalam “politik pilihan raya” ialah sokongan rakyat ketika mengundi.

“Dalam politik pilihan raya ini, yang penting ialah sokongan rakyat ketika mengundi nanti. Jika berpuluh-puluh lagi Ahli Parlimen menukar sokongan sekalipun, tapi ukuran sokongan rakyat terus menaik, tiada masalah,” katanya di Facebook, awal pagi tadi.

Ahli Parlimen Pasir Mas ini mengulas ‘syor’ veteran Umno, Shahrir Samad, agar PAS mengambil alih kepimpinan PN ekoran dakwanya kekecohan dalam gabungan itu, selepas enam Ahli Parlimen Bersatu beralih sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Shahrir turut menarik perhatian kepada Bersatu tidak dapat ambil sebarang tindakan terhadap wakil rakyatnya yang menyokong kerajaan.

Terbaharu Ahli Parlimen Tanjong Karang, Zulkafperi Hanapi, mengikut jejak Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli), atas alasan demi kawasan diwakili mereka.

Fadhli bagaimanapun menyifatkan ‘cadangan’ Shahrir sebagai “agak ganji”.

“Terima kasih atas cadangan. Namun agak ganjil apabila penumpang sebuah kapal yang sedang karam asyik bimbang kepada kapal lain yang terus gagah belayar,” katanya.

Terdahulu hari ini, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin mengakui PAS sememangnya layak memimpin PN tapi terserah kepada jawatankuasa bersama antara parti komponen menentukan.

Katanya, PAS tidak akan meminta kemudi PN tapi tidak akan menolak keputusan bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.