
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Syufaat Kamaron, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran premis di Taman Sri Utama pada 4.40 pagi.
Katanya, susulan laporan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dibantu anggota BBP Yan serta pasukan bomba sukarela dikejarkan ke lokasi kebakaran.
“Kebakaran menyebabkan premis itu musnah hampir 90%. Seorang mangsa iaitu lelaki berstatus OKU berusia anggaran 34 tahun ditemukan di dalam tandas premis berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.
Syufaat berkata, berdasarkan keadaan mayat yang tiada kesan melecur, mangsa mungkin maut akibat lemas kerana terhidu asap tebal.
“Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan masuk ke bilik air di belakang premis. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan unit forensik bomba,” katanya.