20 tan beras Rahmah jadi rebutan di Ipoh

20 tan beras Rahmah jadi rebutan di Ipoh

Beras import jenama terpilih 10kg dijual RM30 berbanding harga asal lebih RM40 untuk sekampit dalam program Jualan Termurah Madani di Padang Awam Taman Klebang Restu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim melakukan tinjauan sempena program Jualan Termurah Madani di Padang Awam Taman Klebang Restu, Ipoh. (Gambar Facebook)
IPOH:
Dua puluh tan beras putih import habis dijual dalam masa tidak sampai dua jam sempena program Jualan Termurah Madani di Padang Awam Taman Klebang Restu.

Tinjauan Bernama di lokasi jualan mendapati beras import jenama terpilih 10kg dijual pada harga RM30 berbanding harga asal lebih RM40 untuk sekampit.

Harga produk laut seperti sotong, udang dan ikan dijual bawah harga pasaran dan pengunjung boleh memilih saiz bersesuaian untuk keperluan mereka.

Peniaga makanan, Mohd Zaki Che Hahsim, 43, berkata beliau beratur seawal 8.30 pagi tadi bagi mendapatkan bekalan beras pada harga Rahmah.

“Penjimatan lebih RM10 memang berbaloi kerana dapat jimatkan perbelanjaan perniagaan saya sebagai peniaga kecil dan apabila ada jualan murah seperti ini kita ambil peluang tidak kira jenama apa, janji berkualiti serta murah.

“Berniaga nasi berlauk ini memang banyak dugaan ketika ini, jika nak naikkan harga, kita bimbang pelanggan merungut kerana rata-rata yang membeli pun bukan orang senang jadi kita mudahkan pelanggan,” katanya ketika ditemui.

Suri rumah, Nurul Fatihah Johari, 38, yang mendapat tahu mengenai program jualan murah itu di media sosial tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan untuk keluarganya.

“Biasanya beras seberat 10kg yang dibeli akan habis dalam tempoh tiga minggu sebab kami lima beranak, jadi hari ini saya beli ikut kemampuan.

“Saya hanya membeli satu kampit sahaja dan tak perlu rasanya buat pembelian panik, lagi pun beras jika lama disimpan pun tidak elok,” katanya.

Sementara itu, V Krishnamuthu, 52, berkata jualan murah dapat membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dan berharap inisiatif tersebut diadakan lebih kerap.

“Memang ini peluang yang saya tunggu untuk dapatkan bekalan beras, dapat peluang sebulan dua kali pun sudah memadai kerana bukannya kita beli beras setiap minggu serta boleh berjimat RM20 hingga RM30 pun kita bersyukur.

“Beras makanan ruji rakyat negara ini, bila ada peluang jualan murah sudah pasti melegakan kami golongan yang berpendapatan rendah, puas hati dapat beli barangan keperluan hari ini termasuk barangan basah,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut melakukan tinjauan sempena program berkenaan.

Beliau menghabiskan masa kira-kira sejam menyantuni peniaga dan pengguna yang mengunjungi jualan tersebut.

Turut ditawarkan menu Buffet Madani RM5 yang menjadi rebutan pengunjung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.