2 suspek guna pemadam api samun kedai runcit diburu

2 suspek guna pemadam api samun kedai runcit diburu

Polis berkata suspek menyembur alat pemadam api ke arah pekerja sebelum melarikan mesin wang tunai.

Rakaman CCTV menunjukkan dua suspek menggunakan alat pemadam api untuk menyamun sebuah kedai runcit di Yan, Kedah.
PETALING JAYA:
Polis memburu dua lelaki yang menggunakan alat pemadam api untuk menyamun sebuah kedai runcit di Yan, Kedah, baru-baru ini.

Ketua Polis Yan, Shahnaz Akhtar Haji, berkata dalam kejadian Khamis lalu dua lelaki masuk ke sebuah kedai runcit di Taman Desa Aman, Guar Chempedak.

“Suspek kemudian menyembur alat pemadam api ke arah pekerja wanita sebelum salah seorang suspek merampas mesin wang tunai.

“Selepas itu, kedua-dua suspek melarikan diri,” katanya menurut Sinar Harian.

Shahnaz berkata, polis berusaha mengesan kedua-dua suspek dan kes disiasat bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Kejadian itu turut tular di media sosial selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan tersebar Sabtu lalu.

Rakaman video itu menunjukkan pekerja kedai runcit dilihat terduduk ketika mengelak terkena semburan alat pemadam api.

Salah seorang suspek kemudian dilihat merampas mesin wang tunai sebelum melarikan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.