
Leong berkata, sebagai seorang daripada penduduk, beliau akan melakukan terbaik menegakkan kepentingan rakyat di kawasan itu.
“Saya faham kekecewaan yang mereka alami terhadap (kemungkinan) cadangan PJD Link.
“Sebelum PRN (pada Ogos 2023), janji sudah dibuat (membatalkan PJD Link), namun baru sampai enam bulan kemudian, cadangan lebuh raya itu kembali,” katanya pada sidang media bersama penduduk.
Katanya, setiap kali pemaju menghantar semakan projek, kerajaan negeri akan menelitinya, manakala penduduk terlibat sekali lagi terpaksa melalui proses bantahan.
“Saya harap Ketua Pegawai Eksekutif PJD Link (M) Sdn Bhd Amrish Hari Narayanan datang berjumpa kami, bukannya memfailkan semakan terhadap projek itu.
“Jika beliau mendengar sebab kepada bantahan dan menangani kebimbangan penduduk, saya pasti akan ada cara boleh dibuat bagi menyelesaikan isu itu,” katanya.
Tahun lalu, Menteri Besar Amirudin Shari berkata, kerajaan Pakatan Harapan membuat keputusan membatalkan projek PJD Link.
Katanya, laporan penilaian impak dihantar pemaju tidak memuaskan dan tidak menepati syarat ditetapkan kerajaan negeri, terutama Kajian Impak Sosial (SIA).
Lebuh raya PJD Link akan menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park.
Cadangan pembinaan lebuh raya itu secara prinsip diluluskan Jemaah Menteri pada November 2017.
Pada September 2020, kerajaan negeri juga bertindak demikian, tertakluk kepada laporan penilaian impak.
Dalam pada itu, pihak berkepentingan merangkap pengerusi Penduduk Membantah PJD Link (ScRAP), David Yoong, berkata penduduk secara konsisten menolak cadangan projek tersebut.
Katanya, beliau mendapat tahu pemaju menghantar semakan kepada kerajaan negeri beberapa minggu lalu.
Yoong berkata, dua kaji selidik – dijalankan firma perunding berkaitan PJD Link dan kaji selidik bebas – mendapati majoriti penduduk terkesan tidak mahu kepada pembinaan lebuh raya berkenaan.
“Mesej saya kepada menteri besar adalah tetap dengan keputusan dibuat pada 31 Julai 2023. Datang dan bertemu dengan kami jika anda mahu tahu apa yang tidak kena dengan lebuh raya itu,” katanya.