Zii Jia keracunan makanan, tarik diri Masters Indonesia

Zii Jia keracunan makanan, tarik diri Masters Indonesia

Pemain nombor 10 dunia itu tidak meneruskan permainan di set kedua bertemu wakil Kanada Brian Yang selepas tewas pada set pertama.

Lee Zii Jia cuba menampilkan prestasi terbaiknya tetapi tidak dapat menyempurnakan perlawanan menentang Brian Yang pada suku akhir Masters Indonesia di Jakarta. (Gambar Bernama)
JAKARTA:
Pemain perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia terpaksa menarik diri pada pertengahan perlawanan suku akhir Masters Indonesia 2024 di Istora Senayan, Jakarta hari ini akibat keracunan makanan.

Pemain nombor 10 dunia itu membuat keputusan tidak meneruskan permainan di set kedua bertemu wakil Kanada Brian Yang selepas tewas pada set pertama 21-14 dalam tempoh 19 minit permainan.

Bekas juara All England itu bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya media mengenai punca beliau tidak meneruskan permainan.

Pihak pengurusan Zii Jia menerusi laman X menyatakan: “Lee Zii Jia terpaksa menarik diri pada pertengahan perlawanan kerana keadaan badannya semakin merosot akibat keracunan makanan sejak beberapa hari lepas.

“Zii Jia cuba menampilkan prestasi terbaiknya tetapi tidak dapat menyempurnakan perlawanan menentang Brian Yang,” menurut pengurusannya.

Sementara itu, beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah ditewaskan oleh gandingan China Liu Sheng Shu-Tan Ning 16-21, 9-21.

Nasib sama turut dialami beregu campuran dan pemenang pingat emas Terbuka Korea 2022 Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabila tewas kepada wakil China Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 18-21, 21-18, 21-13.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.