
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan berkata, maklumat berkenaan menarik pelaku seksual, terutama golongan pedofilia untuk merancang perbuatan jenayah.
“Berhati-hati apabila membuat sebarang hantaran kerana impak daripada sekeping gambar boleh membawa kepada jenayah seperti pemerasan seks.
“Bagi yang memasuki alam remaja berusia 12 dan 13 tahun, mereka ini sudah boleh keluar rumah tanpa kawalan dan berjumpa pelaku dan ini membawa kepada kes rogol, amang seksual dan lain-lain…semua ini hanya bermula daripada hantaran di media sosial,” katanya ketika menjadi tetamu program “Apa Khabar Malaysia” terbitan Bernama TV semalam.
Siti Kamsiah berkata, ibu bapa perlu mengawal penggunaan dan perkongsian aktiviti anak di media sosial, selain menjadi individu paling dipercayai oleh anak untuk berkongsi masalah.
Ini kerana, katanya, anak yang sedang meningkat remaja berpotensi diumpan pedofilia yang kononnya sedia berkongsi masalah dengan mereka.
Berdasarkan statistik polis, kes jenayah seksual mencatatkan peningkatan 15% tahun lalu berbanding 9.6% pada 2022.