Cuba seludup dadah ikut jalan tikus, lelaki ditahan bersama 16kg ganja

Cuba seludup dadah ikut jalan tikus, lelaki ditahan bersama 16kg ganja

Lelaki tempatan berusia 23 tahun itu ditahan polis pada Rabu susulan intipan berhampiran pagar sempadan Malaysia-Thailand.

Timbalan Ketua Polis Perlis Baderulhisham Baharudin berkata, suspek telah direman 7 hari bermula Rabu lepas.
PETALING JAYA:
Seorang pemuda ditahan bersama 16kg ganja dianggarkan bernilai RM49,600 berdekatan Kampung Melayu di Padang Besar, Perlis, Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Perlis Baderulhisham Baharudin berkata, lelaki tempatan berusia 23 tahun itu ditahan polis atas maklumat yang membawa kepada intipan berhampiran pagar sempadan Malaysia-Thailand pada 7.20 pagi.

Katanya, polis melihat lelaki suspek berjalan kaki membawa sebuah kotak menggunakan jalan tikus 100m dari pagar sempadan.

Bagaimanapun, setelah menyedari kehadiran polis, dia mencampakkan kotak itu dan melarikan diri ke arah sempadan namun berjaya ditangkap.

“Hasil pemeriksaan di dalam kotak itu telah menjumpai 11 ketulan mampat dibaluti plastik lut sinar dan lima ketulan mampat dibaluti kerajang aluminium iaitu dadah jenis ganja,” katanya pada sidang media di IPD Padang Besar hari ini, lapor Bernama.

Baderulhisham berkata, suspek dipercayai mengambil upah membawa bekalan dadah yang diambil daripada pembekal di negara jiran dan menyeludupnya masuk ke negara ini untuk diedarkan kepada pembeli.

“Suspek dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti ini sejak November tahun lepas,” katanya.

Suspek didapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan saringan air kencing menunjukkan dia positif dadah methamphetamine.

Lelaki itu direman tujuh hari bermula Rabu lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis masih mengesan suspek lain yang mungkin terlibat dalam kes berkenaan, kata Baderulhisham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.