Beri sekolah lebih autonomi, kata pendidik

Beri sekolah lebih autonomi, kata pendidik

Othman Talib mengkritik keperluan menunggu pekeliling KPM, walaupun melibatkan perkara kecil.

Pensyarah Othman Talib mengkritik pengumuman Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan pekeliling kemudian melibatkan pemakaian baju sukan ke sekolah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sekolah perlu diberikan lebih autonomi membuat keputusan berbanding menunggu pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) dalam isu seperti pemakaian “baju sukan”, kata seorang pendidik.

Othman Talib, pensyarah di Universiti UCSI, berkata perlu dianjak sistem sedia ada daripada “atas bawah” kepada sistem “orang tengah” melibatkan pengurusan sekolah.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini berhubung KPM akan mengeluarkan pekeliling pemakaian baju sukan ke sekolah bagi sesi 2024/2025.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata, menjadi amalan di beberapa negara untuk sekolah menguruskan sumber sendiri, menyelia tenaga pengajar, membangunkan kurikulum dan penilaian serta memilih kursus dan buku teks paling bersesuaian keperluan.

Katanya, peningkatan autonomi perlu disertakan mekanisme akauntabiliti supaya pihak sekolah bertanggungjawab terhadap prestasi pelajar.

Beliau mengulas laporan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (Pisa) 2022, yang mana sekolah mempunyai lebih autonomi cenderung mempamerkan prestasi purata matematik lebih baik.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, negara tidak boleh menafikan keadaan sistem pendidikan semasa, merujuk kemerosotan ketara dalam Pisa.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, William Ng berkata, sistem pendidikan semasa berkisar pembelajaran secara hafalan atau pengulangan.

Katanya, graduan yang terlalu terbiasa dengan pembelajaran hafalan sukar memenuhi piawaian industri.

“(Mereka) mendapat markah baik dalam peperiksaan, namun tidak mampu memenuhi jangkaan industri dalam kemahiran dan sikap,” katanya kepada FMT sambil menambah ia menjadi kekangan kemajuan dalam pengetahuan.

Presiden Persatuan Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman bersetuju dan menekankan peranan pemain industri dalam pendidikan.

Katanya, dasar pendidikan dirangka tidak rapi memberi impak negatif kepada bakat tempatan.

Beliau juga menyokong pembabitan pemain industri dalam reka bentuk modul akademik kerana pengetahuan kemahiran diperlukan dalam pasaran kerja.

“Apa kita perlukan adalah pengetahuan semasa dan relevan diajar kepada pelajar – pengetahuan yang sejajar permintaan pasaran kerja, bukan teori semata-mata.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.