
Ahmad kini memegang jawatan ketua pegawai eksekutif dan pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) iaitu kumpulan pengurus aset terbesar negara.
Pelantikan itu mengisi kekosongan jawatan berkenaan selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim menamakan Amir Hamzah Azizan, CEO KWSP sebelum ini sebagai menteri kewangan kedua dalam rombakan Jemaah Menteri bulan lepas.
Pengerusi KWSP Ahmad Badri Mohd Zahir dalam kenyataan berkata pihaknya menghargai khidmat Amir Hamzah dan pada masa sama mengalu-alukan kedatangan Ahmad Zulqarnain.
“Dengan pengalaman korporatnya yang luas, kepimpinan beliau yang dinamik bakal memacu KWSP ke tahap baharu,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Badri berkata KWSP akan memastikan peralihan yang lancar dan meletakkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan dan hala tuju strategik Ahmad Zulqarnain dalam memenuhi misi dana pencen terbesar negara itu.
Ahmad Zulqarnain mempunyai pengalaman korporat yang luas di mana beliau telah memegang beberapa jawatan antaranya CEO Danajamin Nasional Berhad dan timbalan pengarah urusan Khazanah Nasional Berhad.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Harvard itu dilantik presiden dan CEO PNB pada Julai 2020.